MAQASID syariah secara umumnya adalah rantaian lima prinsip Islam
yang asas iaitu menjaga dan memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan
harta. Oleh itu, pada hari ini teras maqasid syariah sangat penting
dalam penerapannya sebagai model strategik dalam pentadbiran negara ke
arah negara maju dan harmoni.
Lima prinsip asas ini juga menjadi keperluan fundamental kepada
pengukuhan sistem pengurusan kewangan dan ekonomi negara, pendidikan,
politik di samping pemantapan pengurusan masyarakat majmuk secara
menyeluruh malah, sebagai teras terpenting dalam pemerkasaan institusi
perlembagaan serta perundangan negara berlandaskan prinsip maqasid
syariah yang berpaksikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir
yang baik.
Menurut Dr Murat Cizakca, maqasid syariah bermaksud matlamat syariat
dan rahsia-rahsia (asrar) yang ditentukan Allah untuk setiap hukum
merujuk kepada pandangan I'lal al-Fasi. Sehubungan itu, ilmu maqasid
pula adalah ilmu yang mengkaji tentang asas-asas yang menjadi sasaran
syarak melalui penetapan hukum yang terdapat di dalam al-Quran dan
Sunnah.
Ini menunjukkan prinsip atau objektif asas ini adalah
kerangka terpenting dalam aplikasi kehidupan seharian sebagai pemacunya,
lebih-lebih lagi dalam realiti hari ini yang mencabar dan memerlukan
satu pendekatan berkesan bagi memastikan aspek agama, jiwa, akal,
keturunan dan harta terjamin.
Dalam pada itu, seperti yang telah disepakati Imam Syartibi dan
Al Ghazali bahawa matlamat syariat berkenaan merangkumi lima komponen
maqasid yang sangat mustahak iaitu Hifz al-Aql (akal), Hifz al-Din
(agama), Hifz al-Mal (harta), Hifz al-Nafs (nyawa) dan Hifz al-Nasb
(keturunan), iaitu setiap perundangan hukum itu mesti bertujuan
melindungi atau memelihara kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan
nasab atau keturunan umat manusia.
Komponen penting maqasid ini membuktikan bahawa Islam adalah
sistem hidup lengkap, komprehensif, relevan pada bila-bila masa dan
sudah tentu boleh dilaksanakan dalam apa jua urusan kehidupan. Garis
panduan ideal ini adalah bagi memastikan segala keperluan, kehendak
dan aspirasi kehidupan dapat dipenuhi serta terpelihara. Hal ini juga
selari dengan prinsip maqasid syariah iaitu menjamin serta melindungi
maruah, kepentingan dan kehormatan individu di samping memelihara
keharmonian hubungan antara manusia.
Dalam aspek lebih luas,
maqasid syariah juga telah diperdebatkan sebagai matlamat yang ingin
dicapai oleh syariat Islam demi kepentingan umat manusia sejagat merujuk
kepada pandangan Ahmad Al-Raisuni. Selanjutnya, Ibnu Rusyd pula turut
menyifatkan maqasid sebagai hikmah di sebalik pensyariatan sesuatu
hukum.
Manakala pada pandangan al-Syatibi, Allah telah
menetapkan syariat-Nya untuk memberikan kebaikan kepada seluruh manusia
dan mengelakkan sebarang kerosakan daripada menimpa mereka. Dalam
konteks ini, prinsip utama syariah tidak boleh dipandang ringan atau
tidak diberikan perhatian sewajarnya kerana matlamatnya sangat objektif
dan praktikal bagi menjamin kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan
keturunan umat manusia. Prinsip maqasid syariah juga mampu membantu
melancarkan urus tadbir sesebuah kerajaan dalam peranan pembentukan
individu sehingga kepada sebuah negara yang sempurna sama ada dalam
bidang intelektual, ketenteraan, sains teknologi, ICT dan sebagainya.
Ibnu
Asyur pula telah membahagikan maqasid dengan lebih terperinci lagi
dengan mengkategorikannya kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid
khusus. Maqasid umum ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum yang
wajib dan melibatkan semua individu secara umum, manakala maqasid khusus
pula ialah cara yang digunakan oleh syariah bagi merealisasikan
kepentingan umum melalui tindak-tanduk perseorangan. Misalnya hukum
merekodkan perjanjian hutang dalam muamalat dan sebagainya.
Ini
bagi memastikan apa yang ingin dilaksanakan atau dirancang memberi
manfaat sewajarnya kepada semua, terjamin serta menampakkan impak
positif dan yang paling utama ialah tidak melanggar batasan atau
kehendak syariat yang ditetapkan. Kepentingan asas dalam maqasid ini
dalam usaha memahami dan melaksanakan dasar politik, ekonomi dan sosial
yang bersesuaian, perlindungan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta
adalah ciri universal yang sebenarnya mempunyai pengaruh besar dalam
pembangunan sesebuah negara dan bangsa.
Bagi memastikan
perbincangan berkenaan kepentingan maqasid syariah menjadi lebih tuntas,
maka menjadi keperluan untuk merujuk kepada pandangan al-Syatibi
bahawa maqasid syariah secara dasarnya terangkum dalam tiga kategori
iaitu kepentingan dharuriyyat, iaitu segala yang sangat penting dalam
survival kehidupan manusia untuk dipenuhi.
Manakala keperluan
hajiyat iaitu sesuatu keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di
dunia di mana umat manusia akan menghadapi kesempitan tanpa asas ini
dipenuhi dan keperluan tahsiniyat pula suatu keperluan yang tidak
penting berbentuk keselesaan semata-mata, bukan suatu kemestian.
Oleh
itu, dalam melakukan sesuatu tindakan atau perancangan sama ada untuk
jangka masa panjang atau pendek, maka tiga kategori ini perlu menjadi
kretiria dan pra-syarat utama dalam membuat sesuatu keputusan
berkenaannya terutama apabila melibatkan aspek agama, jiwa, akal,
keturunan dan harta secara keseluruhannya ke arah pembentukan institusi
masyarakat madani yang adil dan progresif.
~ Artikel ini dipetik dari http://www.hmetro.com.my