Salam
Prof. Izinkan saya coretkan luahan hati saya dengan ringkasan perjalanan hidup
saya. Asal saya seorang gadis kampung
dari Terengganu. Anak kedua dari 4 beradik. Ayah seorang ahli perniagaan, ibu
suri yang penuh kasih sayang. Alhamdulillah saya membesar dalam keluarga yang sederhana
dan penuh kasih sayang. Selepas tamat pengajian, saya bekerja sebagai guru
sandaran. Namun tugas mendidik pelajar sangat mencabar. Saya diarahkan mengajar
di sekolah harian dimana disiplin pelajar sangat ‘parah’. Kemudian, saya
mendapat tawaran kerja bank. Sebenarnya saya pernah mendapat tawaran Diploma
Pendidikan Lanjutan Ijazah (DPLI) tapi kerana memikirkan tidak layak menjadi
guru yang baik, saya memilih ke bank. Pada saya, baik saya mendidik orang
dewasa mengenai kewangan berbanding mendidik pelajar.
Tiga
tahun di arena perbankan, rezeki saya sangat murah. Kejayaan dinilai
berdasarkan ‘performance’ lalu ditaja pihak majikan bercuti ke dalam dan luar negara. Kerana performance yang baik jugalah, saya dinaikkan pangkat dan gaji.
Namun hidup saya semakin ‘sempit’. Tekanan ditempat kerja, target yang semakin
tinggi, masa kerja sehingga 14 jam sehari 7 hari seminggu menyebabkan ukhwah dengan
keluarga renggang. Ingatkan menghadapi masalah sosial pelajar adalah paling menakutkan,
tetapi lebih mengerunkan apabila masuk ke dunia pekerjaan sebenar. Lebih teruk,
hubungan dengan Allah semakin jauh. Saya sesak. Sehinggalah saya mula berfikir
mencari kerja lain. Setiap hari terdetik untuk berubah. Mahu lari dari dunia
kalut ini. Saya cuba nasib ke Unisza. Tidak lama kemudian dapat panggilan sebagai Felo Akademik. Dalam hati berkata..
“Ya Allah! Malunya diriku padaMu…Di
saat diri ini lalai dari mengingatiMu, Engkau tetap menghulurkan belas
kasihanMu kepadaku..”
Saya
sempat mengajar di Unisza (sampai sekarang masih tak faham istilah Felo
Mengajar di Unisza). Ketakutan saya selama bekerja disana adalah apabila
melihat sebahagian ahli akademiknya yang tak kurang bezanya dengan pelanggan
saya dahulu. Cuma bezanya, pelanggan saya sibuk mencari harta dunia. Setiap
hari meminta dipantau pasaran semasa. Jelas matlamatnya ialah duit. Disini pula sibuk membuat kertas kerja. Bila ditanya,
jawapannya mengumpul kredit untuk diiktiraf. Ditambah dengan amalan free-riderism
semata-mata mahu menjadi intelegensia akademia. Semua untuk nama dan pangkat. Ahh..walaupun
dengan kaedah yang berbeza, matlamat mereka tetap sama. Mecari harta dunia.
Saya binggung lagi.
Sehinggalah
saya berjumpa dengan Dr Ahmad Azrin Adnan yang menyarankan saya menyambung
pelajaran ke ISDEV. “InsyaAllah kamu bukan sahaja mendapat sekeping ijazah,
malah akan bawa pulang kerohanian”. Tersentap hati mendengar kata-kata tersebut. Terus laju diri
ini balik dan membuat permohonan ke ISDEV. Tidak lama selepas itu, Prof berkunjung
ke Unisza sebagai professor pelawat. Sungguh banyak persoalan terjawab selama 4
hari mengikuti wacana ilmu yang disampaikan Prof. Seakan terpaku mendengar perbentangan Prof
tentang kategori penggunaan peralatan Hati ke Hati. Sungguh dalam maksud yang disampaikan
Prof. Terus ingatan saya menerobos ke masa lalu ketika saya takut melihat
masalah sosial remaja sekolah lalu ‘lari’ dari menjadi guru. Ya! Sebenarnya
inilah punca kenapa saya kecewa dengan diri saya sendiri. Saya gagal menjadi
guru yang baik. Hati saya sendiri tidak
bersih, jadi bagaimana mahu menyentuh hati pelajar untuk mendengar nasihat
saya?
Saya
lari kononnya bekerja di bank lebih senang dari mendidik anak bangsa. Tapi hati
saya tetap memberontak. Saya tak senang melihat orang-orang yang terlalu
mencintai kekayaan dan berbangga dengan kemewahan. Cuma selepas mengenali
Prof,barulah saya tersedar. Prof
mengatakan kemiskinan dan kekayaan itu perlu diukur berdasarkan keimanan. Saya
tak setuju dengan tassawur kekayaan mereka, tapi saya juga tak terfikir tentang
tassawur kekayaan iman sehingga diperkenalkan oleh prof. Ya! Sekali lagi,
inilah yang saya cari. Oh…rupanya ini dinamakan tassawur. Wacana ilmu untuk
kelas yang seterusnya menjadi semakin menarik. Tak sabar menunggu hari esok
untuk berjumpa dengan prof. Kali ini prof menyentuh tentang free-riderism. Bagaimana ISDEV sangat menekankkan kualiti
kertas kerja demi ilmu yang diredhai Allah. Kali ini saya menjadi
semakin yakin tentang ISDEV. Inilah yang saya mahukan..!
Alhamdulillah, setelah bertahun-tahun akhirnya ‘larian’
saya sampai ke ISDEV. Saya yakin ini juga berkat doa orang tua dan orang-orang
yang menyayangi saya. Sesuatu yang menyentuh perasaan saya apabila mempunyai
keluarga besar ISDEV yang semangat ukhwahnya sangat tinggi, guru-gurunya sangat
hebat dan tawaduk dan suasana belajarnya yang sangat menyentuh hati. Paling
berkesan dihati saya ialah program Pembangunan Insaniah & Pemantapan
Jasmani di Sedim Kedah. Kalau dahulu, saya dihantar bercuti ke luar dan dalam
negara kononnya untuk meraikan penat lelah bekerja. Nah..balik dari bercuti,
saya diberikan target yang lebih tinggi. Saya umpamakan mereka melayan saya
seperti hamba kerja. Mula-mula memberi makan, bila dah kenyang terus
disembelihnya saya dengan beban yang tinggi. Ya! Inilah hasil sistem sosial kapitalis
dan liberal komunis yang diterapkan dalam kehidupan moden hari ini. Sungguh berbeza
di Sedim, jiwa saya diisi dengan kerohanian. Seronoknya dapat solat berjemaah
setiap waktu dan qiamulai bersama
keluarga ISDEV. Walaupun dua hari dan tak dihidangkan dengan ‘kemewahan’ dunia
tetapi ia telah mengisi kekosongan dalam jiwa saya.Saya menjadi semakin
bersemangat untuk bangun lewat malam mengadap Allah. Hati kembali hidup dengan
menghadiri kelas pengajian hari selasa ditambah pula dengan tazkirah dalam
kelas. Bak pesanan Prof di dalam kelas, “mintalah pada Allah..bercakap-cakaplah
dengan Allah” dan “Ilmu itu perlu dipelajari, diamal dan diperjuangkan”. Semoga
saya istiqomah...
Prof, saya semakin jelas dan yakin tentang perjuangan
Prof. Banyak kata-kata Prof dalam kelas pengajian masuk ke dalam hati saya,
diyakini oleh iman dan diterima akal saya. Tak cukup kertas kalau mahu dicoretkan
semuanya. Tanggungjawab saya sebagai pendidik di Unisza selepas ini sangat
berat. Kalau dulu saya takut saya tak mampu membawa amanah, tetapi sekarang
sekurang-kurangnya saya mempunyai jawapan bila disoal Allah swt kelak akan
sumbangan saya kepada manusia. Saya sunguh-sungguh sedang mempersiapkan diri
saya ke arah itu. Saya harap Prof dan guru yang lain bukan sahaja dapat
menurunkan ilmu malah dapat menjadi ayah dan ibu yang dapat membimbing jiwa dan
rohani saya dalam perjalanan mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Doakan saya
Prof..
Khairun nas man yanfau'n nas..
Khairun nas man yanfau'n nas..
NAMA : DALFIZA BINTI MOHD YUSOF
KURSUS: MASTER OF ISLAMIC DEVELOPMENT
MANAGEMENT (ISLAMIC ASSET MANAGEMENT) USM PENANG
EMAIL: dalfi83@yahoo.com
FACEBOOK: Dalfiza Mohd Yusof
~Kandungan surat ini adalah luahan hati saya untuk guru merangkap ayahanda tercinta, Prof Muhammad Syukri Salleh [ http://syukri54.blogspot.com ] Ini bukanlah tugasan, tapi sebuah tulisan khas dihantar hujung semester 2011 yang berakhir baru-baru ini. Abadikan tulisan ini ke dalam blog agar dapat memberi ingatan kpd sahabat dan diri sendiri~
No comments:
Post a Comment