Friday 20 April 2012

Awan Nano

Pernah dengar lagu Awan Nano?  Tajuk lagu 'Awan Nano' bukan sahaja unik malah mempunyai kekuatan tersendiri dari segi emosi, moral, penyampaian dan lirik yang puitis. Lagu ini dihasilkan oleh komposer M.Nasir manakala liriknya oleh Buddhi Hekayat..Pada mulanya saya tertanya-tanya juga maksud tajuk lagu ini. Disebabkan curious nak tahu..saya mula google lirik lagu awan nano. Kalau di kampung saya nano tu maksudnya nakal. Nano= Nakal/ Tak reti duduk diam. 

Contoh ayat : Anok sape la nano ngat ning?? (Anak siapa la nakal sangat ni??)

Persoalannya, kenapa pulak awan tu nakal ye? He3..




Rupa-rupanya awan itu bukanlah awan yang berada di langit atas sana. Nukilan orang seni sangat tinggi bahasanya dan pengertiaanya. Namun berdasarkan pembacaan dan pemahaman saya yang terhad ini, bolehlah dirumuskan serba sedikit tentang lagu yang saya suka ini.  Awan Nano menurut penulis lirik tersebut, ialah 'awan yang berselerakan'. Awan yang melindungi. Inspirasi lirik dari sebuah kisah manusia agung Nabi Muhammad SAW. Semasa zaman kanak-kanak Baginda, perjalanan kekasih Allah itu dilindungi awan.

Pada suatu hari pendeta Buhaira melihat awan yang mengikuti serombongan kafilah Arab yang dalam perjalanan menuju ke Syam.Awannya bergerak aneh, sekejap ke kanan, sekejap ke belakang, sekejap ke depan. Seolah-olah mengikut sesuatu. Rombongan kafilah Arab itu dipimpin oleh bapa saudara Nabi bernama Abu Talib RA. Nabi Muhammad juga turut serta didalamnya. Akhirnya kumpulan itu behenti di sebuah gereja yang menjadi tempat persinggahan musafir dan peniaga untuk berehat.  Lalu pendeta Buhaira mendapat idea untuk mengetahui siapakah gerangan lelaki yang dilindungi itu. Maka pendeta itu menjemput kumpulan berkenaan untuk menjamu selera. 

Maka semua orang masuk, tapi awan itu tidak berganjak. Pendeta itu menahan bapa saudara Muhammad saw, Abu Talib, lalu berkata "Ada orang lagi yang tinggal?". Jawabnya, "hanyalah anak saudaraku, ia masih kecil..tidak layak sertai jamuan orang dewasa ini." Pendeta itu memberitahu supaya dipanggil anak itu. Apabila anak itu bergerak, maka awan itu bergerak. Ternyata awan itu bergerak di mana sahaja anak itu bergerak, untuk melindungi nya.

Setelah diselidiki, maka gembiralah pendeta Buhaira apabila mendapati anak kecil tersebut mempunyai tanda kerasulan. Dengan semua bukti yang ada, yakinlah hati pendeta tentang anak ini bakal diangkat menjadi rasul. Lantas dia memberi nasihat kepada Abu TAlib agar anak ini dijaga dengan baik kerana dia akan menjadi manusia yang maha penting. Abu Talib berjanji akan menjaga Muhammad saw sebaik-baiknya. Malah kasihnya pada Nabi Muhammad SAW makin bertambah.

Itulah kasih-sayang dalam konteks cinta agung Allah dan kekasihNya, Muhammad SAW.  Dalam konteks yang lebih kecil, awan nano didalam lagu ini digambarkan sebagai kasih sayang ayah & ibu kepada anaknya. Diri mereka ibaratnya awan dilangit. Jika anda mendengar dan cuba memahami liriknya, anda dapat rasakan apa maksud yang tersirat disebalik lagu ini. Sudah pasti hati anda akan tersentuh.


Awan beratur..
Nukilan Buddhi Hekayat membuktikan kasih dan sayang hadir tanpa kita sedari. Ikhlas dan kejujuran menjadi tunjang tulusnya kasih sayang dalam kehidupan sehari-hari. Keadaan panas dan dahaga menjadi simbolik kesusahan dan kesukaran yang kita alamai. Awan yang diperihalkan menjadi penyelamat. Hadir sebagai teman disaat kesulitan yang tidak pernah sedikit pun mengabaikan kita dan sentiasa berusaha membantu apabila memerlukan. Awan nano itulah menjadi teman waktu senang dan susah.

Awan nano setiap insan berbeza. Ada yang menganggap ayah merekalah awan nano yang sentiasa bekerja keras untuk masa depan keluarga. Ada juga yang berkata ibulah awan nano yang sebenar. Sesiapa pun  awan nano dihati anda, jangan pernah lupa diri mereka yang sentiasa ada untuk anda.

Awan nano memberi tafsiran yang cukup unik. Bagaimana kita sebagai manusia yang tidak pernah lepas dari khilaf wajar menghargai apa yang kita ada dan menikmati peluang yang diperolehi.


"Awan apabila memutih di langit, tidak ramai yang menghargai akan kewujudannya. Kalau ada, adalah..Kalau tiada, tak mengapalah. Hadirnya sekecil zarah nano yang halus.  Hanya apabila terik mentari membakar pipi, ketika itulah kita tercari-cari lindungan redupnya. Sayangilah mereka selama masih mereka di depan mata. Jangan tunggu sehingga awan nano merajuk membawa pergi hujan jauh dari bumi lantas membiarkan mentari membakar kulit"

Awan Nanoku ..

*credit to ayluv untuk sumber gambar awan..




No comments:

Post a Comment